Secawan kopi sambil menghirup udara pagi yang segar dari ruangan bilik pejabat ini telah menjadi rutinku sejak aku menjejakkan kakiku di Bumi Mas Holding ini lima tahun yang lalu. Ping..ping..bunyi hon kenderaan yang mula membingitkan suasana pagi. Dari bangunan pejabat ini, ku lihat kenderaan mula berderetan sepanjang jalan raya tersebut. Masing-masing berpusu-pusu untuk ke tempat kerja masing-masing menyebabkan keadaan jalan menjadi sesak. Senario ini menjadi kebiasaan buat aku kerana bangunan pejabat ini terletak berhampiran pinggir kota metropolitan yang sentiasa sibuk. Aku mengelus pada jam di tanganku. ”Oh, hampir pukul 8.30 pagi. Patutlah jammed teruk...,” ngomelku sendiri.
Sudah menjadi kelaziman aku akan sampai paling awal ke pejabat berbanding staf-staf yang lain. Mungkin kerana kerjayaku sebagai seorang Kaunselor memerlukan aku sentiasa berdisiplin untuk mengekalkan imej diri ataupun diriku sendiri yang amat benci terperangkap dalam kesesakan jalan raya, aku sendiri kurang pasti. Cuma satu yang aku pasti, perancangan yang baik perlu untuk memastikan perjalanan harian yang baik.
Kerjaya aku ini amat bermakna bagi aku. Sejak kecil lagi aku amat mendambakan untuk menjadi seorang kaunselor yang bagus dalam sebuah syarikat perniagaan. Membantu insan lain yang mungkin mengalami tekanan disebabkan pelbagai faktor dalam kehidupan mereka. Mungkin perkara tersebut mudah untuk diperkatakan, namun hakikatnya untuk melaksanakannya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dalam diriku. Aku sendiri mula mengenali erti jerit-perih dan juga dugaan serta pelbagai karenah klien sepanjang aku menjawat jawatanku ini. Walaupun begitu, mungkin disebabkan minat dan juga kecintaan yang mendalam dalam bidang ini, segala halangan tersebut dapat ku atasi dengan baik. Kata-kata hikmat seperti ”Apabila kita jatuh cinta dengan seseorang, kita akan bersedia untuk menerima segala kelemahannya juga” sering menjadi pegangan dalam hidupku. Dalam erti kata yang lebih mudah, kita akan bersedia sebaik mungkin menerima segala dugaan dalam kerjaya yang kita ceburi dan menanganinya sebaik mungkin.
Jam menunjukkan hampir pukul 9.00 pagi. Suasana pagi Isnin yang sunyi sebentar tadi telah mula berubah menjadi bising dengan suara ceria staf Bumi Mas yang telah mula hadir untuk menyambung kembali tugas masing-masing setelah berehat selama dua minggu pada hujung minggu. Masing-masing sibuk untuk membuat punch card untuk mengelakkan dendaan disebabkan masalah disiplin. Hal ini kerana pihak atasan syarikat amat mementingkan tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan pekerjanya. Mereka amat mementingkan prestasi kerana ia merupakan faktor penting dalam meningkatkan produktiviti.
Aku hanya memerhatikan tingkah laku mereka dari ruangan bilikku ini. Dapat kulihat perhubungan yang erat antara staf-staf tersebut secara tidak langsung telah mewujudkan suasana yang harmoni. Ini penting untuk memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik hasil daripada kerjasama dan juga persefahaman setiap staf.
Secara tidak langsung aku tersenyum sendirian. Sememangnya aku berpuas hati dan bersyukur kerana perubahan yang positif ini telah membuktikan segala usaha dan program yang aku rancang dan laksanakan untuk mewujudkan perhubungan yang baik antara pekerja telah mula membuahkan hasil. Sebelum ini, terdapat beberapa masalah dan ketegangan yang wujud dalam syarikat disebabkan permusuhan dan ketidakserasian antara staf telah mula membimbangkan pihak atasan syarikat. Mereka memohon bantuanku untuk menyelesaikannya kerana sekiranya masalah dalaman syarikat terus-menerus dibiarkan akan memberi impak yang buruk kepada produktiviti syarikat.
Aku membelek pula diari tugasanku satu persatu untuk melihat segala aktiviti dan juga temujanji aku pada hari ini. Tugasanku ini amat memerlukan aku untuk mencatat segala aktiviti dan juga pertemuan dengan klien yang mempunyai pelbagai masalah yang tersendiri. Sebelum bertemu dengan klien, adalah amat penting untuk aku meneliti kes permasalahan mereka dan juga membuat persediaan yang rapi agar tidak membuat sebarang kesilapan yang boleh memberi imej dan pandangan yang negatif dari pihak klien. Paling utama, klien mesti mempunyai keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada diriku untuk mereka meluahkan segala permasalahan mereka dengan telus dan jujur. Ini akan memudahkanku membuat analisis yang tepat dan membantu mereka mencari alternatif yang sesuai bagi setiap permasalahan mereka.
Tangan terus membelek pantas dan terhenti pada helaian terakhir diari itu apabila mataku tertancap pada satu nama. “Pertemuan dengan Cik Marina pukul 9.30 pagi,” ayat yang tertera dalam helaian diari tugasan tersebut. “Cik Marina...,” desisku sendiri. Cuba mengingat sesuatu. “Oh..beliau dari Bahagian Personel,” aku mendesis lagi. Segera ingatan aku mengimbas kembali saat beliau menghubungi pejabatku tempoh hari. Suara beliau kedengaran sedikit serak-serak basah, seperti baru lepas menangis. Aku sendiri sukar untuk mengagak punca permasalahannya. Beliau cuma mengatakan perasaannya yang sangat tertekan dan amat berharap untuk menemuiku. Aku bersetuju dengan permintaan beliau memandangkan situasinya yang amat kritikal pada ketika itu.
Lantas tanganku mencari fail maklumat diri beliau. Setiap maklumat dan butiran diri staf yang akan berurusan atau ingin mendapatkan perkhidmatanku akan diserahkan kepadaku secara automatik. Ini penting bagi membolehkan aku menganalisa dan mengenali diri klien terlebih dahulu melalui latar belakang dan sejarah hidup untuk lebih memahami mereka. “Masih ada setengah jam lagi,”desisku. Aku membuka fail tersebut. Tertera nama dan maklumat latar belakang beliau. Beliau berasal dari sebuah kawasan pedalaman di sebelah Utara semenanjung dan merupakan anak sulung daripada lima adik beradik. Telah bertugas di syarikat ini selama empat tahun dan menunjukkan prestasi kerja yang baik. Dari pemerhatian ini, aku dapati beliau seorang yang tegas, berprinsip dan komited terhadap segala tugasan yang diamanahkan.
Sedang asyik melihat segala data maklumat tersebut, aku terdengar pintu bilikku diketuk. Aku menoleh sekilas pada jam di mejaku. Sudah hampir pukul 9.30 pagi. “Mungkin dia..,”kata hatiku. “Masuk...,” jemputku. Kelihatan seorang gadis manis dalam usia pertengahan 20-an melangkah masuk. Anggun berbaju kurung berwarna hitam berbunga merah jambu dan bertudung litup sesuai dengan warna kulitnya yang cerah itu. “Sah..memang dia.” Bisik hatiku. Aku dapat mengecamnya melalui profail peribadinya yang kulihat sebentar tadi.
Walaupun beliau tersenyum apabila aku mempersilakan beliau duduk sebentar tadi, dapat juga aku mengesan kemuraman yang wujud dalam dirinya. Mungkin permasalahannya itu amat memberi kesan kepada dirinya dan tugasan hariannya. “Tak apelah..yang penting aku mesti beri dia ruang kepadanya agar dia berasa selesa dulu,” bisikku sendiri. Demi keselesaan klien juga, setiap kali pertemuan, aku akan mempersilakan mereka berbincang dan bertemu bual di sofa yang terletak di sudut sisi bilikku ini. Kalau boleh aku ingin menghindarkan suasana terlalu formal yang boleh mengganggu perjalanan sesi dan ketelusan peluahan klien.
Untuk menjalankan sesi ini aku perlu melalui pelbagai fasa dan peringkat seperti membina hubungan, penerokaan, mendefinisi masalah dan membina matlamat, mencari alternatif penyelesaian dan merancang pelan tindakan, melaksanakan tindakan, dan yang terakhir penamatan sesi sekiranya diyakini klien sudah berjaya mengatasi permasalahannya. Selain itu, aku juga perlu mengaplikasikan dan menggabungkan pelbagai kemahiran yang telah ku pelajari semasa pelaksanaan sesi iaitu kemahiran melayan, kemahiran mendengar, dan kemahiran komunikasi yang terdiri daripada komunikasi lisan dan bukan lisan.
Aku tersedar dari lamunanku dan kembali ke dunia realiti apabila Cik Marina mula berbasa-basi denganku. Aku cepat-cepat menggunakan peluang yang baik ini agar dapat membina perhubungan yang baik dalam menjamin hasil sesi yang bagus dan harapanku amat tinggi agar dapat membantu menyelesaikan permasalan beliau. Harapanku, selagi aku berkhidmat di sini aku akan berusaha untuk mengembalikan segala senyuman mereka yang bermasalah kepada diri mereka. Padaku, setiap manusia di dunia ini berhak untuk mendapatkan kehidupan yang terbaik dan termanis bagi diri mereka.
Tiga jam kemudian....
Aku merenung ke luar tingkap untuk melihat pepohon kecil kehijauan yang ditanam di dalam pasu-pasu kecil dan dihias di bahagian tepi balkoni bangunan tersebut. Walaupun kecil,namun banyak sumbangannya kepada manusia. Bisik hati kecilku. Itu merupakan cadangan pakar tertentu untuk mengimbangi ekosistem alam dan juga masalah kekurangan bekalan oksigen akibat pembangunan di sekitar kawasan pinggir kota yang hanya dikelilingi ‘Hutan Batu’ ini. Tatkala ini juga, fikiranku masih ligat memikirkan permasalahan Rin iaitu panggilan ringkas bagi Cik Marina yang datang menemuiku pagi tagi. Rupa-rupanya senyumannya direntap disebabkan dilema yang dihadapi antara menurut kata hati atau menerima keputusan orang tuanya. Beliau amat tertekan akhir-akhir ini dan tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasannya. Akibatnya, Rin sering dimarahi oleh pihak atasannya kerana sering melakukan kesilapan walaupun dalam tugasan yang mudah. Ku kira jiwanya juga menjadi amat sensitif apabila air matanya sering tumpah tatkala menceritakan bagaimana desakan orang tuanya supaya mengahwini jejaka pilihan mereka sedangkan beliau sendiri telah mempunyai pilihan hatinya sendiri. Walaupun telah memberi penjelasan mengenai pilihan hatinya dan memujuk dengan lembut, namun kedua orang tuanya masih berkeras dengan keputusan mereka telah menyebabkan Rin menjadi buntu. Rin amat menghormati kedua orang tuanya dan memahami bahawa kesukaran mereka menerima teman lelakinya kerana prinsip mereka yang agak sukar untuk bermenantukan orang luar dari negeri asal mereka.
Aku yang mendengar permasalahannya amat empati dengan Rin. Aku cuba membantu Rin mencari pelbagai alternatif yang sesuai untuk menamatkan jalan kebuntuannya itu dan memberikannya semangat untuk memulakan pelan tindakannya. Aku akan sentiasa memantau melalui pertemuan kami pada masa akan datang. Sekurang-kurang aku berasa sedikit lega apabila kulihat terdapat pancaran harapan dari bebola matanya sebelum kembali menyambung tugasnya. Secara tidak langsung aku mengetahui bahawa aku telah dapat membantu meringankan bebanannya sedikit demi sedikit.
Aku juga bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang terbuka pemikirannya dan tidak terkekang dengan pemikiran ortodoks seperti itu. Hubunganku dengan Reza, pilihan hatiku telah mendapat restu keluarga sehinggalah kami menaiki jinjang pelamin dan dikurniakan seorang puteri penyinar kebahagian rumah tangga kami yang kami namakan Nur Anis Sophilia. Dia kurasakan merupakan pelengkap kepada kehidupanku kini.
Namun jiwaku sedikit tersentuh apabila beliau menceritakan tentang daerah asalnya iaitu sebuah desa di kawasan Utara tersebut yang dikelilingi tanaman sawah padi yang menguning. Cukup membuatkan jiwaku meronta-ronta untuk kembali ke desa dan bergurau-senda bersama ibu, ayah dan keluargaku yang lain seperti zaman kanak-kanakku. Kini, disebabkan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, keadaan dan kekangan tugasan menyebabkan aku sukar untuk mencari peluang untuk pulang ke desa. Aku hanya akan berbual melalui telefon untuk mengurangkan rasa rinduku. Aku mengeluh perlahan sambil menghempaskan punggungku malas ke kerusi. Kepalaku ku sandarkan ke kerusi. Terasa berat mungkin kerana perjalanan sesi yang panjang sebentar tadi dan memerlukan daya fokus yang tinggi. Tatkala keletihan, mindaku melayang...jauh..



No comments:
Post a Comment